ERDOGAN MENGAMUK KEPADA PEMIMPIN NEGARA-NEGARA ARAB KERANA TAKUT KEPADA AMERIKA SYARIKAT!!

Recep-Tayyip-Erdogan_Baitulmaqdis_600
ANKARA/ISTANBUL: Turki mengkritik reaksi lemah Arab terhadap keputusan Amerika Syarikat (AS) mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel, dan berkata menjelang sidang kemuncak Islam di Istanbul hari ini, sesetengah negara Arab takut membangkitkan kemarahan Washington.

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan yang mendakwa AS mengabaikan tuntutan rakyat Palestin ke atas Baitulmaqdis Timur yang dikuasai Israel dan “mencabuli undang-undang antarabangsa”, mempelawa pemimpin dari lebih 50 negara Islam untuk mencapai satu persetujuan.

Baitulmaqdis yang dihormati orang Yahudi, Kristian dan Islam, ialah tapak suci ketiga umat Islam dan menjadi tumpuan konflik Israel-Palestin sejak berdekad lamanya.

Pengumuman Presiden AS, Donald Trump mengiktiraf bandar itu sebagai ibu negara Israel, minggu lalu, menimbulkan kemarahan banyak negara Islam, tetapi hanya beberapa kerajaan memberi amaran seperti Turki yang tindakan Washington akan menyebabkan dunia terjerumus “dalam api tanpa penghujung”.
Seorang menteri Turki berkata, beberapa negara belum memaklumkan wakil yang akan dihantar ke Istanbul.

“Sesetengah negara Arab menunjukkan respons sangat lemah (terhadap isu Baitulmaqdis).

“Nampaknya sesetengah negara sangat takut kepada Amerika Syarikat,” kata Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusoglu.

Beliau berkata, Mesir dan Emiriah Arab Bersatu akan menghantar menteri luar, manakala Arab Saudi belum memaklumkan sama ada ia akan menyertai sidang kemuncak itu.

Tiga negara itu mempunyai hubungan sensitif dengan Turki, serta melihat kaitan antara dasar Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) diasaskan Erdogan dan gerakan Islamis serantau yang ditentang mereka.

Cavusoglu berkata, negara lain juga tidak menghantar senarai wakil mereka dan negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) perlu membuat pendirian terhadap mentaliti “saya adalah kuasa besar, saya boleh melakukan apa sahaja” Washington.
“Kami akan menggesa negara yang belum mengiktiraf Palestin untuk berbuat demikian sekarang. Kami mahu AS insaf dengan kesilapannya.”

Protes dan pertempuran
Pengumuman Trump mencetuskan protes di dunia Islam sejak beberapa hari lalu dan pertempuran antara rakyat Palestin dan pasukan keselamatan Israel di Tebing Barat, Gaza serta Baitulmaqdis Timur.

Isnin lalu, puluhan ribu penunjuk perasaan membanjiri jalan raya di Beirut bagi membantah perarakan disokong Hezbollah, kumpulan bersenjata Syiah yang disokong Iran, di mana pemimpinnya menggesa rakyat Palestin bangkit menentang Israel, minggu lalu.
Presiden Iran, Hassan Rouhani yang dijangka menghadiri sidang kemuncak di Istanbul itu berkata, negaranya menyokong kebangkitan baharu menentang Israel bagi “melindungi hak rakyat Palestin”.

Katanya, negara Islam “pasti menyuarakan bantahan mereka kepada dunia” dalam mesyuarat hari ini.

Iran menyokong beberapa kumpulan militan anti-Israel. Negara itu turut bersaing untuk mendapatkan kuasa dan pengaruh di Timur Tengah yang bermajoriti kumpulan Sunni di Arab Saudi, sekutu rapat AS.

Menteri Pertahanan Iran, Amir Hatami berkata, keputusan Trump akan menguatkan Israel dan mendakwa sesetengah negara Islam bekerjasama dengan kerajaan Israel dalam diam.

“Kami percaya keputusan ini adalah hasil interaksi Israel dan beberapa negara Islam,” katanya kepada rakan sejawatan di Turki dalam perbualan telefon semalam yang dilaporkan agensi berita Iran, Tasnim.

Qassem Soleimani yang mengetuai cawangan Pengawal Revolusi yang menyelia operasi di luar Iran berikrar “menyokong pergerakan ketenteraan Islam sepenuhnya” pada Isnin.
Pentadbiran Trump berkata, ia kekal komited untuk mendamaikan Israel serta rakyat Palestin, dan keputusannya tidak akan menjejaskan sempadan atau status Baitulmaqdis kelak.

Katanya, sebarang perjanjian damai yang boleh dipercayai akan menjadikan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel dan dasar lama perlu dimansuhkan bagi menghidupkan semula proses damai yang terhenti sejak 2014.

Subscribe to receive free email updates:

0 Response to "ERDOGAN MENGAMUK KEPADA PEMIMPIN NEGARA-NEGARA ARAB KERANA TAKUT KEPADA AMERIKA SYARIKAT!!"

Post a Comment