KISAH SEDIH.. "Cukuplah Seorang Sehelai Dulu Bang, Saya Boleh Basuh Hari-Hari," Kisah Sayu Pasangan Beli Baju Sekolah Anak Buat Netizen Tersentuh


Musim persekolahan akan bermula semula tidak lama lagi. Selepas menikmati tempoh sebulan bercuti, sudah tiba masa untuk kembali ke sekolah dengan semangat dan azam yang baru.

Ibu bapa sudah pastinya insan yang paling sibuk dalam menyiapkan segala kelengkapan sekolah untuk anak-anak tercinta. Buktinya mudah, pergi saja lihat di mana ada promosi kelengkapan sekolah pasti ramai ibu bapa yang tidak melepaskan peluang untuk memberikan yang terbaik untuk anak-anak.

Dalam kemeriahan ibu bapa membeli-belah perkakas sekolah, jangan pula lupa masih ramai lagi diluar sana yang bermandikan peluh dan memerah keringat demi mencari rezki untuk melengkapkan anaknya ke sekolah. Memang telah menjadi lumrah di dunia, yang mana bukan semua bernasib baik dan mampu untuk berbelanja mewah untuk menghantar anak ke sekolah.

Gambar Hiasan

Kadang-kala ada daripada kita terpaksa menggunakan semula pakaian yang lama kerana desakan kos sara hidup yang kian hari makin meningkat. Namun, sesetengah ibu bapa tidak sanggup melihat anak mereka ke sekolah dengan pakaian yang sudah lusuh, kasut yang koyak dan alat tulis yang tidak lengkap.

Dalam kita sedang mengeluh dengan keadaan ekonomi keluarga yang tidak menentu ini, seorang wanita berkongsi sebuah kisah beliau hadapi sendiri ketika ingin membeli barangan persekolahan anaknya. Perkongsian ini telah membuka mata netizen dan mendapat lebih 1,000 perkongsian di laman sosial Facebook. Jom ikuti kisah yang dikongsi oleh Intan Nornie Sheika.

Kedai RM 2 dan sebuah kehidupan.

Awal minggu lalu, melangkah ke Aeon. Ramai amat orangnya. Adam yang sedang demam, ditinggalkan rehat di rumah. Hajat tibu nak membeli dua hingga tiga pakaian sekolah. Nak 'grab' mana yang sempat.

Angkat sehelai. RM 30. Dibelek yang lain. Baju sahaja minima RM 24 satu. Belum dipadankan seluar. Laju kepala mencongak. 


Gambar Hiasan

"Tak cukup bajet ni." 
Usai beli barangan dapur tibu bergegas keluar. Kejar masa. Hati ingatkan Adam dirumah.

Tuju ke kedai yang lebih mampu milik. Kedai yang dulu jarang-jarang ada orang, sangat penuh. Dari mula meletak kereta, hingga ke kaki lima. Ada saja keluarga kecil dengan anak-anak berdiri dan bercakap-cakap sesama sendiri.

"Murah agaknya ni. Ramai orang ni."
Bilang tibu pada diri sendiri. Sebelum keluar dari kereta, cebisan kertas itu diperhatikan berkali-kali. Senarai keperluan sekolah Adam. Risau ada lupa catat.

Sempat belek helaian kertas dalam beg duit juga. Masuk ke dalam dan belek baju-baju. Lingkungan harga RM 13-RM 23. Alhamdulillah. Mampu milik.

Lalu tibu yang cerewet belek lipatan baju satu persatu. Sampai adik sales person yang manis kerling pada tibu.

"Akak perlukan bantuan? Nak saiz yang mana?" Beliau cuba membantu.

"Dik, akak nak belek jahitan dia sikit, boleh ya? Maaf dik kalau akak susahkan kerja adik." Jawab tibu. Sambil memberi sebuah senyuman.

Adik itu menggangguk. "Sebenarnya supervisor saya tak bagi. Tapi tak apa. Dia tak ada. Akak belek-belek dulu ya."

Sedang tibu asyik membelek kedengaran perbincangan antara dua orang. Di lorong sebelah rasa tibu. Suara wanita itu. 

Gambar Hiasan

"Cukuplah dua abang. Ayang basuh hari-hari. Sempatlah Long dengan Angah sekolah pagi dengan agamanya."

"Uish awaknya. Sempat ke? Kot bawak dek hujan tak berbaju sekolah budak-budak. Ambikla sehelai lagi. Esok-esok abang tanya Mail kot ada nak upah kutip durian, abang pegilah. Lepas duit bebudak punya kasut pulak." 


Kata lelaki itu. Suami wanita terbabit, tibu pasti.

"Tak pun baju Long tu kita pin la kalau-kalau Angah pakai gedeber beso. Tak yah la abang pakai duit tu. Esok nak isi minyak lagi." Balas wanita itu.

Walaupun suara mereka sangat perlahan, tapi tibu dengar. Satu demi satu. Mungkin sebab kami memang bersebelahan. Dipisahkan oleh rak baju sehaja.

Tibu capai tiga pasang uniform dan pasangan itu tibu tinggalkan. Tak sanggup mendengar yang iya-nya. Usai membayar, airmata tibu dah mula bergenang.

Ya Allah dibalik keluh kesah diriku yang keletihan, ramai lagi diluar yang sudah lama jerih. Sudah lama pedih. Allahu. 



Tibu ke 'pit stop' akhir. Kedai eko RM 2. Berhajat nak dapatkan keperluan alat tulis dan stokin Adam. Pun penuh..Ramai 'yak mat' umat manusia.

Yang membeli jajan sepenuhnya bakul. Dalam hati tibu, ingin memberitahu, namun ditelankan sahaja niat itu. Bimbang suasana tidak sesuai.

"Di sana orang berkira setiap sen yang ada membeli keperluan sekolah. Dekat sini, seronok pula dia masukkan setiap jajan kalori kosong tu sebab murah. RM 2 je kan."
Bisik pada hati.

Diambil 3 pek stokin, melintas sebentar ke bahagian barangan anak. Membelek pin, dan ternampak pasangan sedang membelek bungkusan beberapa keping 'pampers' yang di pek semula.


Komen-komen yang diterima
"Ambil dulu 4 cukup bang. Habuan tidur malam. Siang pakai ja lampin kain."
Kata wanita itu. Pada lelaki sebelahnya.

Allahu sekali lagi sayup dalam hati. Hari ini Allah kirimkan dua pasangan ini melintas waktu tibu. Untuk tibu pelajari sesuatu.

Tentang kehidupan. Didalam rintihan kita, Allah ajarkan bahagia itu ada pada jiwa yang syukur setiap apa adanya.

Ada orang, yang hari - hari bergelut untuk hidup dengan apa yang dia tak ada.

Sedang kita. Yang hari - hari mengeluh dengan apa yang kita ada.

Subscribe to receive free email updates:

0 Response to "KISAH SEDIH.. "Cukuplah Seorang Sehelai Dulu Bang, Saya Boleh Basuh Hari-Hari," Kisah Sayu Pasangan Beli Baju Sekolah Anak Buat Netizen Tersentuh"

Post a Comment